11 March 2010

CINTA TANPA SYARAT BUAT PASANGAN

at 13:05

Kalau kita membeli kereta, pada bila-bila masa pun kita boleh mengubah suainya mengikut cita rasa sendiri. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan marah atau membantah. Namun, apabila kita menikahi seseorang, usahkan kata hendak mengubah, cuba ditegur sedikit perihal perangai atau personalitinya pun dia boleh melenting.
Sememangnya sudah ditakdirkan menusia lahir berbeza-beza. Lihatlah sahaja pada cap jari masing-masing. Tentu tidak akan ada satu pun yang sama. Demikianlah juga dengan gelagat dan sikap suami isteri. Kalau suami melakukan sesuatu, ia mungkin tidak kena dengan cita rasa isteri. Sebab itulah pentingnya suami atau isteri menerima pasangan seadanya.
Barangkali ada yang kurang senang dengan penampilan pasangan. Lantas dia terdorong untuk cuba mengubahnya agar ia cantik di pandangan mata individu terbabit. Kadang kala dia begitu obses berbuat begitu sampaikan terabaikan hati dan perasaan pasangan. Akibatnya suami ataupun isteri mula berjauh hati kerana merasakan bahawa dirinya tidak lagi dicintai. Apabila ada perasaan sebegitu, hubungan, belaian dan layanan selaku suami isteri mula menjadi pudar. Akhirnya ia akan memelapkan rasa cinta yang suatu masa dahulu pernah menjadi penyeri rumah tangga.
Sebenarnya bukan mudah mengubah seseorang, apatah lagi pembentukan personaliti lazimnya memakan masa bertahun-tahun. Dan apabila tiba masa berumah tangga, biasanya personaliti seseorang sudah pun tetap. Jika ditanya kepada sesiapa pun, tidak akan ada seseorang pun yang suka apabila dirinya disuruh orang untuk berubah, apalagi kepada sesuatu yang tidak digemarinya. Kerana itulah pentingnya mencintai pasangan kerana diri pasangan itu sendiri dan bukan disebabkan lain.
Cinta sedemikian rupa bakal melahirkan rasa hormat terhadap harga diri pasangan. Ini akan turut membantu seseorang untuk melihat diri suami ataupun isteri sebagai individu berasingan yang memiliki nilai, fikiran dan perasaan tersendiri. Maka, isu mahukan pasangan sama seperti diri sendiri ataupun setidak-tidaknya tidak lari daripada cita rasa yang digariskan tidak lagi timbul.
Lelaki dan wanita ditakdirkan saling lengkap dan melengkapi bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan seks, tetapi dalam apa jua hal sepanjang berumah tangga. Jikalau pasangan ada kelemahan, pasti dia juga memiliki kelebihan. Lantaran itu, terimalah ia dengan reda dan positif dan binalah jalinan cinta tanpa syarat antara suami isteri.
Bagi mereka gemar membandingkan pasangan dengan suami ataupun isteri orang lain, hentikanlah tabiat tersebut. Ia mampu menguris hati pasangan, tidak kiralah ia dilakukan di hadapan atau di belakangnya. Mungkin ia sekadar untuk gurauan senda. Tetapi kalau sudah selalu begini, bimbang nanti ia akan mengubah tafsiran cinta dan sayang dalam diri pasangan.
Nilaikan perkahwinan dengan hati yang terbuka selain bersyukur dengan apa yang dimiliki. Jikalau tiba-tiba timbul rasa tidak suka pada pasangan, kenangkanlah kembali segala kebaikannya. Ia mampu menjadi penawar.

0 comments:

 

Hana MiszNani Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos